Home » , » Hidup mati The Red Warriors

Hidup mati The Red Warriors



Kelantan meneruskan misi hidup atau mati untuk mempertahankan kejuaraan Piala FA tetapi mereka berdepan cabaran cukup getir daripada Felda United FC pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam, malam ini.

Seri 3-3 pada separuh akhir pertama meletakkan Kelantan dalam keadaan kurang selamat memburu slot ke pentas final buat kali keempat berturut-turut ketika The Fighters sedang berusaha mahu melakar sejarah menjadi kelab kedua selepas Sime Darby FC mara ke perlawanan akhir.

Apa pun, skuad kendalian George Boateng pastinya berdepan tekanan cukup tinggi untuk mendapatkan gol awal memandangkan Felda United FC tampak ada kelebihan berdasarkan peraturan gol di tempat lawan setelah mengikat lawan itu 3-3 di Kota Bharu pada 6 Mei lalu.


JANGAN SIMPAN

Pengalaman ketinggalan 0-3 dalam tempoh 36 minit pertama dalam aksi separuh akhir di Kota Bharu memberi pengajaran buat Boateng agar memperkemaskan jentera mereka sebelum berdepan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim.

Tanpa Prince Tagoe diberitakan belum bersedia diturunkan akibat kecederaan, dan sandaran kini terarah kepada anak tempatan, Mohd Khairul Izuan Rosli tetapi pengendali dari Belanda itu tidak lagi boleh menyimpan Francis Forkey Doe di bangku simpanan lebih awal.

Ketika aksi yo-yo Mohd Khairul Izuan kembali mengundang kekecewaan peminat, jelas sumbangan Forkey Doe amat diperlukan untuk menjadi watak pembunuh di depan pintu gol lawan.


TAK BERI IMPAK

Hussein Alaa Hussein Salman hadir menggantikan Obinna Nwaneri tetapi pemain import Iraq itu masih belum memberi impak sepenuhnya di benteng pertahanan Kelantan biar pun sudah beraksi dalam empat perlawanan.

Pemain berusia 27 tahun itu perlu melipat gandakan usaha bersama Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak dan Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim kerana ancaman berbahaya dua penyerang Felda United FC, Edward Junior Wilson dan Indra Putra Mahayuddin sedang menanti untuk menembusi benteng mereka.


MAIN PERANAN

Perancang tengah, Mohd Badhri Radzi kena bertindak memainkan lebih peranan di enjin tengah jika tidak mahu pasukannya kecewa kerana Solehin Kannasian Abdullah dan K Thanaraj pastinya akan menggunakan sepenuh pengalaman mereka berikutan ketiadaan pemain import Liberia, Zah Rahan Krangar.

Malah Kelantan perlu memanfaatkan kelebihan yang ada pada Mohamed Shawky Aly, Brendan Gan atau Wan Zaharulnizam Wan Zakaria untuk mencipta gerakan kepada penyerang mereka ketika Felda United FC cukup lega dengan kembalinya Muhamad Shukor Adan pada pertemuan ini.-sinarharian
Jangan lupa komen di bawah

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment