Home » , » Farizal tekad kecewakan TRW

Farizal tekad kecewakan TRW

Penjaga gol FELDA United FC, Mohd Farizal Harun berdepan tugas sukar untuk mengekang asakan juara bertahan Piala FA, Kelantan di Stadium Shah Alam, malam ini.

The Red Warriors (TRW) memerlukan sekurang-kurangnya jaringan 1-0 untuk membolehkan mereka melangkah ke pentas final pada minggu depan selepas terikat 3-3 di laman sendiri dalam aksi separuh akhir pertama awal bulan ini.

Menjelang separuh akhir kedua, FELDA United kendalian Irfan Bakti Abu Salim memiliki kelebihan jaringan di tempat lawan dan berada pada landasan terbaik untuk mencipta sejarah ke pentas final buat kali pertama.

“Saya harap barisan pertahanan akan bersedia sepenuhnya, jangan leka seperti di Kota Bharu tempoh hari.

Kelantan pasti akan turun menyerang dan saya juga sudah bersedia untuk mempertahankan gawang sebaik mungkin,” katanya yang berharap perlawanan mampu berakhir dalam tempoh 90 minit.

Pada separuh akhir pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, FELDA United kelihatan pasti melangkah ke final apabila meledak tiga gol dalam tempoh 35 minit pertama menerusi Edward Junior Wilson, Indra Putra Mahayuddin dan Mohd Aizul Ridzwan sebelum anak buah George Boateng bangkit meledak tiga gol untuk mencatatkan keputusan akhir 3-3.

“Kelebihan mungkin memihak kami kerana tekanan akan terarah kepada Kelantan.

Kami perlu mengambil kesempatan terhadap keghairahan mereka menyerang.

“Kami tampil sebagai pasukan underdog, paling penting kami mempertahankan kelebihan dimiliki,” kata bekas penjaga gol ATM itu.

Bagaimanapun Farizal bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk penentuan sepakan penalti apabila turut melakukan persediaan ketika menjalani latihan.

“Orang mungkin mengharapkan Khairul Fahmi (Che Mat) kerana statusnya (penjaga gol kebangsaan) namun bagi saya apabila memasuki fasa sepakan penalti, peluang tetap seimbang,” katanya.

Farizal pernah membuktikan kemampuannya dengan menepis dua sepakan penalti ketika membantu ATM menyingkirkan LionsXII untuk melangkah ke final Piala Malaysia 2012.-hmetro
Jangan lupa komen di bawah

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment