Home » , » Carrillo Bakal Perkuatkan Kelantan

Carrillo Bakal Perkuatkan Kelantan

CARILLO (kanan) disambut oleh Annuar sebaik tiba di Kota Bharu, malam kelmarin.
SELEPAS mengharungi musim 2014 yang agak suram akibat kehilangan beberapa tonggak utama, Kelantan nekad untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak mereka dengan mengambil beberapa pemain import dan tempatan yang baharu untuk memperkuatkan pasukan.

Menggugurkan kesemua pemain import musim lalu, Kelantan sudah pastinya belajar daripada kesilapan musim lalu gara-gara menyenaraikan beberapa pemain import yang gagal menepati standard dan beraksi di bawah par.

Bagi berdepan cabaran musim 2015, pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan telah menyenaraikan beberapa pemain import baharu dengan mengikat Emmanuel Kenmogne (Cameroon), Isaac Pupo (Liberia) dan Jonathan McKain (Australia).

Terbaharu, mereka menerima khabar gembira apabila berjaya melengkapkan kuota pemain import keempat dengan menyenaraikan penggempur kelahiran Colombia, Erwin Carillo yang akan mengetuai jentera hadapan The Red Warriors.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa melalui entri laman sosial Facebooknya mengesahkan bahawa pemain berkenaan bersama ejen serta isteri dan anaknya selamat mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, malam kelmarin.

“Akhirnya pemenang kasut emas Liga Amerika Latin sudah pun mendarat di Kota Bharu. Kita mengucapkan selamat datang kepada Erwin Carrillo bersama keluarganya ke Kelantan.

“Erwin Carrillo akan memulakan latihan di bawah kendalian jurulatih, George Boateng beberapa hari lagi selepas dia betul-betul pulih daripada ‘jetlag’ setelah mengharungi penerbangan jauh hampir 48 jam,” katanya.

Carillo sebelum ini beraksi bersama Union Magdalena yang menyertai Liga Colombia dan dinobatkan sebagai penjaring terbanyak selepas meledak 29 gol daripada 41 penampilan.

Beliau juga pernah beraksi bersama pasukan kebangsaan Colombia sejak 2005 dan membuat 71 penampilan dengan menjaringkan 38 gol selain pernah membantu pasukan bawah 20 tahun negaranya memenangi tempat ketiga dalam kejohanan Piala Dunia Remaja 2003 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Penyerang berusia 31 tahun itu sepatutnya tiba di Kota Bharu pada Khamis lalu, namun dia dikatakan berdepan masalah penerbangan dan perlu mendapatkan visa terlebih dahulu di Kedutaan Malaysia di Peru sebelum dibenarkan terbang ke Malaysia.

-kosmo-
Jangan lupa komen di bawah

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment