Home » , » Isu pendaftaran Wan Zack tidak perlu disensasi

Isu pendaftaran Wan Zack tidak perlu disensasi

Wan Zack Haikal (ditengah)
KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) meminta semua pihak supaya isu pendaftaran pemain sayap negara, Wan Zack Haikal Wan Noor tidak disensasikan.

Setiausaha Agongnya, Azman Ibrahim berkata, persatuan itu masih mempunyai masa yang panjang sehingga 23 April ini untuk mendaftarkan Wan Zack Haikal sebagai pemain pasukan tersebut untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Beliau berkata, pemain tersebut telah mengikat kontrak tiga tahun bersama The Red Warriors dan KAFA enggan mengambil risiko dengan membuat keputusan mendaftarkan pemain tersebut secara terburu-buru memandangkan dia masih belum pulih sepenuhnya dari kecederaan yang dialami.

"Kami perlu meneliti pelbagai aspek sebelum membuat keputusan berhubung perkara ini.

"Lagi pun jadual perpindahan pemain untuk kali kedua ini belum tamat.

"Pada saya tiada apa yang perlu disensasikan, kita baru mendaftarkan dua pemain untuk kuota tempatan iaitu Mohd. Fitri Omar dan Brendan Gan.

Mengikut syarat setiap pasukan hanya dibenarkan membuat mendaftar tiga pemain tempatan sahaja untuk pintu pemindahan pemain pada pertengahan musim.

"Sekiranya kita mahu mendaftarkan Wan Zack, KAFA perlu keluarkan seorang lagi pemain kerana kuota 26 pemain untuk musim ini.

"Sudah penuh disebabkan itu kita perlu berhati-hati dalam membuat keputusan,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sejurus tamat perlawanan Liga Super antara Kelantan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin.

Pada perlawanan tersebut Kelantan kembali bangkit menumpaskan ATM 1-0 selepas mempamerkan aksi lesu dalam beberapa saingan liga sebelum ini.

Sebelum ini akhbar melaporkan keputusan KAFA untuk tidak mendaftarkan pemain sayap lincah, Wan Zack Haikal Wan Nor mencetuskan tanda tanya dalam kalangan pemerhati bola sepak negara.

Kelibat Wan Zack Haikal menjadi perhatian selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa KAFA hanya mendaftarkan dua pemain tempatan iaitu Brendan Gan yang baru mendapat kerakyatan Malaysia dan pertahanan ATM, Fitri pada jendela kedua perpindahan Liga-M tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Azman turut mengesahkan dua tonggaknya iaitu Famirul Asyraf Sayuti dan Muhammad Aizat Jaini sedang menjalani pemilihan bersama pasukan Perak.

www.utusan.com.my
Jangan lupa komen di bawah

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment