Home » » Sathia dakwa diugut Suhaizi

Sathia dakwa diugut Suhaizi

Suhaizi (dua, kiri) didakwa mengeluarkan perkataan berbaur ugutan terhadap Sathia ketika mengadili perlawanan ATM menentang Kelantan, kelmarin.
SELEPAS episod perkataan lucah yang didakwa dikeluarkan Shukri Abdul Rahman kepada Joseph Kalang Tie ketika mengadili perlawanan Sarawak dan Perak, Februari lalu, kini kata-kata berbaur ugutan pula didakwa dikeluarkan oleh seorang lagi pengadil perlawanan, Suhaizi Shukri terhadap pengendali ATM, B Sathianathan.

Puncanya apabila bekas pengendali kebangsaan itu bertanyakan sebab mengapa Suhaizi membatalkan gol dijaringkan Marlon Alex James pada babak separuh masa pertama ketika aksi menentang Kelantan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam kelmarin.

“Secara baik dan saya bertanya kepada Suhaizi mengapa gol Marlon dibatalkan kerana dia tidak berada dalam keadaan offside ketika itu.

“Tanpa memberi sebarang penjelasan dia (Suhaizi) menyuruh saya duduk diam jika tidak ingin dilayangkan kad merah dan keluar, seolah-olah beliau mengugut dan telah menjadikan saya sebagai sasarannya.

“Kalaulah sebagai jurulatih, kita tidak boleh buka mulut, saya rasa ini sudah teruk, dalam keadaan pasukan tertekan kini dibelenggu sikap pengadil yang nyata mengecewakan,” katanya ditemui selepas perlawanan.

Jelasnya, ini bukanlah kali pertama pasukannya dilayan sedemikian rupa oleh pengadil yang sama kerana situasi di Kota Bharu minggu lalu juga menggambarkan sikap tidak profesional Suhaizi.

“Minggu lalu, pemain saya (Nor Fazly) meminta penjelasan dari Suhaizi mengapa pasukannya tidak diberikan sepakan penalti, namun jawapan dari Suhaizi ringkas dan menyuruh saya membuat aduan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Seandainya FAM mendapati dirinya bersalah ketika mengadili perlawanan dan dikenakan hukuman dia sanggup menerimanya,” katanya.

Ditanya apakah beliau tidak bimbang dikenakan hukuman oleh FAM, Sathianathan sanggup menerima sebarang hukuman seandainya dirinya benar bersalah.

“Ini bukan tahun pertama saya bergelar jurulatih, telah banyak saya lalui dan apa yang saya suarakan ini demi kebaikan mutu bola sepak negara bukan sebaliknya.

“Kalau FAM nak gantung silalah, saya sedia menerimanya jika benar bersalah,” katanya.

Mengulas mengenai perlawanan tersebut, bekas pengendali Kelantan itu turut mengakui The Red Warriors beraksi cemerlang pada babak pertama menyebabkan anak didiknya berada dalam keadaan tertekan.

“Pelawat mendominasi sepenuhnya kawalan bola di setiap posisi sepanjang babak pertama dan mereka  sentiasa menyerang memburu gol.

“Separuh masa kedua kami berjaya mengimbangi permainan terutamanya 10 minit permulaan babak kedua.

"Namun beberapa kecederaan yang dialami pemain membantutkan perancangan, “ katanya yang terpaksa melihat pasukan beraksi kekurangan seorang pemain ketika berbaki 10 minit terakhir kerana kecederaan Marlon selain telah melakukan tiga pertukaran pemain.

www.sinarharian.com.my
Jangan lupa komen di bawah

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment