![]() |
Reputasi Carrillo muncul selaku penjaring terbanyak Liga Colombia dijangka bakal menggegarkan pentas Liga-M musim depan. |
Carrillo, tampil dengan reputasi cukup tinggi dan menjadi sandaran utama Kelantan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan dan perkara ini diakui sendiri Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa, baru-baru ini.
KECAPI POPULARITI AWAL
Meskipun belum lagi turun berlatih bersama rakan sepasukan baharunya, namun Carrillo seperti mengecapi populariti lebih awal daripada penyokong fanatik pasukan berkenaan ketika ini.
Rekod cemerlangnya meledak 29 gol daripada 41 penampilan bersama Union Magdalena dalam Liga Colombia sekali gus dinobatkan sebanyak penjaring terbanyak membuatkan penyokong Kelantan tidak sabar-sabar menunggu dia memperagakan aksinya di Kota Bharu, selepas ini.
Malah populariti Carrillo dilihat mengatasi kehebatan Kenmogne atau lebih dikenali panggilan Pancho yang merupakan penjaring terbanyak Liga Super Indonesia (ISL) dengan 25 gol dalam 27 penampilan ketika bersama Persebaya Surabaya, musim lalu.
REPUTASI JADI TARUHAN
Reputasi penyerang berusia 31 tahun itu yang pernah bersama pasukan kebangsaan Colombia sejak 2005 dan membuat 71 penampilan dengan menjaringkan 38 gol hampir pasti menjadi taruhan Kelantan untuk menggegar pentas Liga-M musim depan.
Malah, pemain kelahiran Santa Marta berketinggian 1.81 meter itu dijangka duduk sebaris bersama Luciano Figueroa (Johor Darul Ta’zim), Paulo Rangel (Terengganu) dan Dickson Nwakaeme (Pahang) yang dianggap bintang import paling menyerlah setakat ini.
Pastinya, aksi persahabatan menentang kelab Indonesia, Persija Jakarta di Kota Bharu pada 4 Januari depan, bakal menjadi ujian sulung buat pemain yang pernah berkelana di Peru bersama FBC Melgar musim 2011 untuk membuktikan pembelian Kafa adalah tepat pada musim depan.
-sinarharian-