Home » , » Tauke Tidak Kisah Dilabel Kuda Tua

Tauke Tidak Kisah Dilabel Kuda Tua

Tauke percaya pengalaman dimiliki mampu membantu pasukan.
TONGGAK pertahanan baharu The Red Warriors (TRW), Norhafiz Zamani Misbah, tidak kisah dilabel pemain kuda tua oleh penyokong setia skuad pantai timur itu.

Norhafiz Zamani atau dikenali dengan Tauke berkata, panggilan itu dianggap satu perkara biasa bagi seseorang pemain bola sepak sepertinya yang melepasi peringkat umur 30 tahun.

“Bagi saya, tak ada masalah dipanggil gelaran kuda tua. Lagipun, saya rasa kuda tua semakin menonjol sejak akhir-akhir ini. Tengok dalam skuad Harimau Malaya, ada empat hingga lima pemain berusia 30 tahun ke atas.

“Bagus juga, sekurang-kurangnya kuda tua seperti mereka masih lagi mampu memerah keringat untuk negara. Sebenarnya, gelaran ini hanyalah di atas kertas sahaja dan saya tidak melihat perkara ini dari sudut negatif,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Malah bekas kapten kebangsaan berusia 34 tahun berkata, dia bersedia membuktikan keupayaannya bersaing dengan rakan sepasukan lain bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad kendalian George Boateng, pada musim ini.

“Saya sedia sahut cabaran penyokong Kelantan, meskipun ini bukanlah sesuatu yang mudah bagi saya. Dari segi kelajuan mungkin kurang sedikit, tetapi saya percaya pengalaman yang ada boleh disumbangkan untuk pasukan ini,” katanya.

Ditanya mengapa memilih untuk menyarung jersi menyertai Kelantan pada musim ini, bekas kapten skuad kebangsaan itu secara jujur memberitahu, kontraknya bersama Negeri Sembilan yang diwakilinya sejak musim 2011 berakhir, November lalu.

Menurut pemain kelahiran Melaka itu, dia mendapat tawaran dua hingga tiga pasukan lain tetapi membuat keputusan mencuba nasib bersama Kelantan kerana percaya mampu membuat kemunculan semula dalam pentas Liga Malaysia, musim ini.

“Sebenarnya saya sudah pulih sepenuhnya kecederaan lutut. Musim lalu, saya beraksi hampir keseluruhan perlawanan tetapi orang mungkin tak nampak sebab Negeri Sembilan beraksi di Liga Premier, jadi saya harap penampilan dalam Liga Super kali ini membuka mata peminat tempatan,” katanya.

-sinarharian-
Jangan lupa komen di bawah

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment